BAHANA PETIR

Lebih 1,000 orang mati setiap tahun
SEPANJANG April dan Mac lalu, beberapa kejadian petir berlaku sekitar negara ini yang turut menyebabkan kematian. Sebenarnya, petir menyambar setiap hari dengan kekerapan 100 kali setiap saat.Secara relatif, kebarangkalian kejadian petir di kawasan tropika lebih tinggi berbanding kawasan bergaris latitud tinggi (kawasan utara dan selatan). Ia mungkin berkaitan dengan pembentukan awan kumulusnimbus yang lebih produktif di kawasan tropika (seperti Malaysia).Berbanding ribut atau taufan, lebih banyak kematian dicatat disebabkan petir. Di Amerika Syarikat saja, setiap tahun 100 orang mati dipanah petir dan jumlah yang sama dicatatkan di Eropah. Jika dilihat secara global pula, petir membunuh lebih 1,000 orang setahun dan mungkin lebih.
Pensyarah Klimatologi, Program Geografi, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ramzah Dambul, berkata secara teorinya panahan petir akan membawa maut kerana suhu teras pembentukan petir adalah antara 30,000 darjah Farenheit (F) hingga 50,000 darjah F.“Secara relatif, suhu ini lebih panas daripada permukaan matahari. Apabila petir itu menyambar, ia sebarkan suhu dan tenaga haba itu ke ruang atmosfera di sekelilingnya. Barangkali suhu sebaran ini tidak setinggi sewaktu petir terbentuk, tetapi ia masih lagi cukup panas.“Sebab itu, sesetengah kes yang disambar petir, mayat boleh jadi rentung dalam tempoh kurang daripada lima saat. Bagaimanapun, ada kes orang yang disambar petir tidak mati. Salah satu sebabnya kerana si mangsa mungkin hanya disambar ‘percikan-percikan sipi’ petir (bukan terasnya),”katanya.
Secara saintifik, petir terjadi akibat daripada pergerakan dinamik cas positif dan negatif yang wujud di dalam awan (terutama awan kumulusnimbus yang tepu dengan titisan air). Cas ini pula terhasil apabila dua gumpalan awan bergerak dan bergeser antara satu sama lain. Sama seperti kain halus yang digeser pada kulit, ia akhirnya boleh menghasilkan cas positif dan negatif (yang boleh menarik butiran kertas kecil – seperti kuasa magnet).Kebiasaannya petir akan terjadi ketika dalam keadaan hujan dan guruh yang sedang aktif. Petua yang biasa diamalkan; jika bunyi guruh dan kilau kilat berlaku dalam selang ’30 saat’ (maksudnya, kilat hanya berlaku selepas guruh kedengaran 30 saat sebelumnya), kebarangkalian untuk terjadinya sambaran petir lebih tinggi. Jika ada kejadian guruh dan petir, seelok-eloknya kita hanya keluar rumah selepas 30 minit bunyi guruh yang terakhir didengar.Begitupun, tidak semestinya petir bergantung pada kelebatan hujan.Ramzah berkata, gerakan awan kumulusnimbus adalah dinamik dan jika ada banyak pembentukan cas di awan; ia akan menghasilkan kejadian petir yang lebih aktif.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP