PLURALISME & LIBERALISME

Liberalisme iaitu kebebasan individu tanpa had ialah fahaman yang timbul pada kurun ke-16 dan 17 ketika zaman kebangkitan atau Renaissance iaitu golongan intelektual menyerang pentadbiran gereja.

Ketika itu agama Kristian dikawal Roman Katolik, jadi orang awam tidak boleh tafsir Kitab Injil, kecuali pihak gereja. Mereka yang menentang pihak gereja akan diseksa seperti dijemur di tengah jalan, dibakar hidup-hidup dan dikurung dalam kotak besi.

Maka, timbul kumpulan dan pendapat mengatakan Kitab Injil itu harus ditafsir semula dan daripada idea itu timbul pelbagai mazhab dalam agama itu seperti Protestan, Anglikan dan berpuluh-puluh lain lagi.

Pendapat mazhab ini jauh berbeza antara satu sama lain sehingga muncul kenyataan ‘kebenaran itu tidak selamanya benar dan harus dinilai semula’. Dari situ, timbul fahaman iaitu Kitab Injil itu sendiri diturunkan dalam bahasa tuhan perlu diterjemahkan ke bahasa yang boleh difahami orang lain.

Tindakan itu dengan sendirinya menjadikan kitab itu sebagai unsur manusiawi iaitu masing-masing memahami kitab itu dengan bahasa sendiri. Bila ini berlaku, mereka ada hak mengubah atau mengolahnya bila dirasakan (kandungannya) tidak lagi relevan (dengan keadaan semasa).

Dari situ, timbul pula pendapat dipelopori John Hick bahawa semua agama itu boleh diterima kerana tujuannya satu cuma jalannya berlainan, maka lahirlah pluralisme.

Ia kemudian dijadikan senjata oleh orientalis atau penjajah Barat untuk menyerang Islam kerana serangan lebih 200 tahun dengan senjata nyata tidak dapat menundukkan orang Islam. Walaupun, pada kurun ke 15 dan 16, banyak negara Islam dapat dijajah, mereka tidak dapat menguasai hati orang Islam.

Jadi timbul fikiran bahawa serangan fizikal tidak memberi kesan kepada orang Islam, tetapi menyerang Islam menerusi fikiran maka lahirlah pejuang Kristian yang menghabiskan banyak masa pergi ke negara Islam khususnya di Timur Tengah untuk mengkaji sumber Islam dan mencari kelemahan yang boleh diserang.

Mereka kemudian menubuhkan pengajian Islam di universiti di Eropah dan orang Islam melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan kedoktoran mendapat pendidikan daripada tenaga pengajar orientalis sehingga menimbulkan ‘racun’ dalam pemikiran pelajar Islam itu.

Sejak bila pemikiran liberalisme dan pluralisme agama ini mula bertapak di negara kita?.

Pemikiran ini mula meresap ke golongan intelektual dan profesional Islam sejak beberapa tahun lalu dan mula menunjukkan kelantangannya sejak akhir-akhir ini, apabila menyeru supaya apa yang berlaku kepada Kitab Injil dilakukan terhadap al-Quran dengan kenyataan meminta al-Quran diolah semula.

Firman Allah jelas menyatakan al-Quran itu diterima terus oleh Rasulullah daripada Allah yang bermaksud ia ayat Tuhan yang tidak boleh diolah.

Mereka lupa bahawa sejak al-Quran diturunkan, jutaan umat Islam menghafaznya dalam bahasanya yang asal dan tiada sesiapa boleh menambah atau mengurangkan walau satu huruf dalam kitab suci itu. Mereka menuduh pula al-Quran sebagai mushaf Quraisy, tetapi berdasarkan sejarah kita sendiri tahu bahawa orang yang menjadi jurutulis al-Quran terdiri daripada pelbagai keturunan termasuk dari Afrika.

Bolehkah kita kenal pasti penganut fahaman ini di Malaysia.

Di Malaysia, golongan ini tidak membuat pengisytiharan terbuka mengenai kedudukan mereka berbanding di tempat lain seperti di Indonesia. Di negara ini, mereka hanya meledakkan idea fahaman itu menyatakan al-Quran mesti diolah semula, ayat berkaitan sistem faraid serta amalan poligami tidak relevan lagi serta kedudukan lelaki sebagai ‘superior’ dalam rumah tangga juga sudah tidak relevan.

Ia mungkin tidak lagi relevan dalam masyarakat Barat kerana Kitab injil itu mereka karang sendiri. Sebenarnya, Tuhan maha bijaksana dengan menciptakan hukum untuk hambanya.

Walaupun sekarang zaman atom, zaman nuklear, kemudahan untuk manusia dan alam itu tetap wujud maka tuhan mengaturkan sesuatu untuk dijadikan pegangan manusia itu dan ia sesuatu yang sempurna.

Malah, tabiat manusia pun pemimpin dalam rumah tangga itu ialah lelaki. Bangsa apa pun sejak zaman lampau, malah mereka yang tinggal dalam hutan atau gua pun, masih mengekalkan perkara ini. Itu sudah tabiat manusia.

Islam liberal menghalalkan perkahwinan sejenis, manusia normal dan waras mana yang boleh menerimanya kerana perkahwinan itu tetap bertujuan menyambung kesinambungan zuriat manusia. Itu tujuan asas perkahwinan.

Jika perkahwinan sejenis dibenarkan, tiada lagi keturunan manusia (pada masa depan). Tetapi, oleh kerana mereka mahu menerima budaya moden, mereka sanggup mengorbankan akal, fikiran dan nafsu asasi, malah menjual agama untuk kepentingan dunia yang sedikit.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP